Tuesday, September 23, 2008

Kompleks Azman Hashim di UIAM

Source from Berita Harian Online:

Kutipan sewa Kompleks Azman akan diagih bantu pelajar UIAM

TABUNG Endowmen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bakal menerima dana tetap kira-kira setengah juta ringgit setahun menerusi hasil kutipan sewa bangunan komersial baru dalam kampus universiti itu iaitu Kompleks Azman Hashim yang dijangka siap Jun tahun depan.

Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Syed Arabi Idid, berkata sumber baru dana tabung itu akan digunakan bagi menyalurkan bantuan kewangan kepada 18 pelajar tempatan dan antarabangsa setiap tahun mulai tahun depan dengan keutamaan kepada mereka yang cemerlang akademik tetapi kurang berkemampuan.

Beliau menyifatkan projek pembangunan kompleks itu bersifat serampang tiga mata kerana ia bukan saja menghasilkan pendapatan lumayan untuk disalurkan kepada Tabung Endowmen universiti, malah membolehkan pelajar menikmati kemudahan lebih selesa serta membantu pelajar kurang berkemampuan meneruskan pengajian di universiti itu.

Katanya, pembinaan bangunan komersial tiga setengah tingkat yang akan menempatkan semua penyedia perkhidmatan dalam kampus termasuk bank, kafeteria dan kedai buku itu berjaya dilaksanakan menerusi sumbangan dana berjumlah RM6.4 juta daripada Yayasan Azman Hashim.

“Kompleks Azman Hashim dijangka siap Jun tahun depan dan bakal menjadi pusat perkhidmatan setempat bagi warga universiti termasuk kafeteria, bank dan kedai buku.

“Kesediaan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim menghulurkan sumbangan dana bagi menjayakan projek ini bukan saja memantapkan perkhidmatan dalam kampus universiti ini, malah berupaya mengubah nasib golongan pelajar kurang berkemampuan.

“Ini kerana hasil kutipan sewa kompleks ini yang dianggarkan RM500,000 setahun akan disalurkan kepada Tabung Endowmen UIAM untuk membiayai yuran pengajian dan elaun 18 pelajar kurang berkemampuan setiap tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Azman Hashim, di UIAM, Gombak, baru-baru ini.

Sementara itu, Azman berharap sumbangannya itu dapat memangkin pembangunan universiti ke arah melahirkan lebih ramai graduan berkualiti.

“Saya yakin projek ini akan berjaya dilaksanakan dan seterusnya berupaya menghasilkan dana untuk membantu pelajar cemerlang yang memerlukan bantuan kewangan.

“Dengan ini saya berharap UIAM akan dapat meneruskan kecemerlangannya dalam menghasilkan graduan berkualiti dan memenuhi kehendak pasaran serta menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian ke negara ini,” katanya pada sidang media sempena majlis itu, baru-baru ini.


P/s - Siap Jun 2009? Yey! Kira sempat tgk bangunan tu time Convo nanti!




2 comments:

Adlan said...

slm

nak sedut sket letak dlm iiumbloggers.com leh?

xjumpe la website bharian tu..

ajezahmad said...

Boleh jer. Ambik sudah. nak ambik gambar kat bawah tu pon bleh. Tapi low quality la..